Segera buat laporan dokumen didakwa penghakiman Rosmah bocor, kata polis

Segera buat laporan dokumen didakwa penghakiman Rosmah bocor, kata polis

Dokumen tular didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan mula disebarkan portal Malaysia Today hari ini.
PETALING JAYA:
Polis menggesa orang ramai membuat laporan berkaitan dokumen yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata tiada laporan diterima setakat ini dan siasatan akan dimulakan sebaik laporan diterima, menurut Sinar Harian.

Satu dokumen yang didakwa salinan kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Rosmah telah disiarkan di laman web Malaysia Today, milik penulis blog Raja Petra Kamarudin.

Kebocoran dokumen itu berlaku kurang seminggu selepas dokumen penghakiman kes suaminya Najib Razak juga turut dibocorkan menjelang hari keputusan.

Rosmah didakwa atas tiga pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau didakwa meminta RM187.5 juta melalui bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana membantu sebuah syarikat mendapatkan projek solar, dan menerima rasuah berjumlah RM5 juta pada 20 Dis 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.