
Keadaan itu berpunca daripada pemilik kem gagal menjelaskan hutang bank kerana melabur sehingga RM12 juta untuk menyediakan pusat latihan bagi program itu yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 16 Feb 2004.
Program bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia itu dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2018.
Dianggarkan, RM984 juta dibelanjakan untuk membina semua 82 kem PLKN di seluruh negara yang sebahagian besarnya menjadi projek “gajah putih”, walaupun ada usaha kerajaan untuk “menghidupkannya” semula dengan menyewakan kem itu kepada pihak lain.
Kini, 20 kem disewakan untuk kegunaan Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, polis dan tentera, termasuk lima di Sabah dan Sarawak, manakala 62 kem beroperasi pada skala kecil, termasuk terbiar.
Pemilik Kem PLKN Eco Millenium di Beranang, Othman Yaakob berkata, apabila PLKN dimansuhkan, sebahagian pemilik menggunakan kem untuk pasaran terbuka, tetapi kadar sewaannya terhad.
“Di kawasan pedalaman, kebanyakan kem terbengkalai dan ‘hangus’ begitu sahaja. Bayangkan modal yang dibelanjakan sehingga RM12 juta untuk buat kem PLKN, iaitu fasa pertama (2003) RM3 hingga RM4 juta dan fasa kedua (2004) RM8 juta.
“Kita buat ikut spesifikasi yang diinginkan kerajaan dan ada pemilik yang tanggung hutang sehingga sekarang. Lebih parah ada yang muflis akibat gagal membayar pinjaman.
“Ramai pemilik yang tidak dapat pulangan semula. Rata-rata pemilik guna tanah sendiri seluas 12.14 hektar untuk bina kem dan akhirnya terbengkalai,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan perlu meneruskan program PLKN bagi membentuk jati diri remaja, sekaligus membentuk anak muda yang mempunyai semangat cintakan tanah air.
“Rugi jika kita biarkan begitu sahaja selepas segala aspek sudah tersedia bagi menjayakan program ini dan sangat tidak masuk akal jika ada yang katakan program ini merugikan.”