
Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, masih ada lagi kontraktor tidak membayar pekerja pembersihan dengan gaji minimum yang berkuatkuasa Mei lalu.
Beliau turut memaklumkan, MTUC menerima aduan daripada pengawal keselamatan bahawa mereka tidak dibayar untuk bekerja lebih masa.
“Keengganan dan ketidakpatuhan pihak majikan dalam sektor ini jelas tidak menunjukkan sikap ketidakprihatinan dalam menghormati kedaulatan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Kamarul menyeru kerajaan dan majikan supaya segera melaksanakan gaji minimum sebelum MTUC membawa isu ini ke peringkat antarabangsa.
“Sekiranya ketidakpatuhan terus berlaku dan tidak ada tindakan serius dilakukan kerajaan dan juga majikan, MTUC bercadang mengambil tindakan lain seperti menyuarakan isu di peringkat global seperti di Persidangan Perburuhan Antarabangsa,” katanya.
Selain itu, MTUC menegaskan, kerajaan perlu serius dan tidak bersikap pilih kasih dalam mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022.
“Pemeriksaan berterusan daripada penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu dijalankan secara agresif dalam memastikan pelaksanaan ini dipatuhi.
“JTK perlu ada inisiatif sendiri dalam melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei dengan perniagaan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dikecualikan.
Bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum itu akan berkuat kuasa sepenuhnya menjelang pertengahan 2023.