
Setakat pertengahan bulan ini, Malaysia antara lima negara teratas di Asia Pasifik, termasuk Vietnam, Jepun, Indonesia dan Taiwan yang mengumpul 61.1% daripada keseluruhan e-mel berniat jahat (e-mel hasad) yang dikesan Kaspersky Mail Antivirus.
Vietnam mendahului senarai e-mel spam paling banyak dikesan dengan 3.09 juta e-mel, diikuti Malaysia (2.36 juta), Jepun (1.86 juta), Indonesia (1.80 juta) dan Taiwan (1.45 juta).
Penyelidik Keselamatan Kanan Pasukan Penyelidikan dan Analisis Global Kaspersky (GReAT), Noushin Shabab berkata, rantau Asia Pasifik menyumbang hampir 24% daripada jumlah e-mel hasad global yang dikesan tahun ini.
“Rantau Asia Pasifik mempunyai hampir 60% daripada populasi dunia. Ini bermakna lebih ramai orang berpotensi menjadi mangsa ‘scammer’ (sindiket penipuan) di rantau ini berbanding rantau lain di dunia,” katanya dalam pembentangan “8th Asia Pasific Cyber Security Weekend Kaspersky” semalam.
“Penggunaan meluas perkhidmatan dalam talian seperti membeli-belah dalam talian dan platform dalam talian untuk aktiviti seharian juga menjadikan individu lebih terdedah menjadi mangsa penipuan.”
Noushin berkata, terdapat tiga faktor utama – populasi, penggunaan e-perkhidmatan yang tinggi dan sekatan perjalanan akibat pandemik – yang menyebabkan sebahagian besar e-mel spam menyasarkan negara Asia Pasifik.
“Ia juga kesan daripada tempoh pandemik berpanjangan yang menyebabkan sekatan perjalanan dan bekerja dari rumah memerlukan orang ramai membawa komputer pejabat mereka ke rumah. Rangkaian di rumah lazimnya kurang dilindungi daripada serangan siber.”
Beliau berkata, bilangan mel spam berniat jahat yang dikesan penyelesaian Kaspersky menyaksikan penurunan secara beransur-ansur selepas kemuncaknya pada 2019.
“E-mel berniat jahat ini kebanyakannya dihantar penjenayah siber dalam bentuk e-mel dengan jumlah tinggi untuk mencapai lebih ramai pengguna dengan niat meraih keuntungan kewangan bagi penyerang (sindiket penipuan).
“Pemantauan berterusan kami terhadap ancaman siber semasa dan baharu ini yang beroperasi di negara Asia Pasifik menunjukkan majoriti pelaku ancaman ini menggunakan ‘phising’ (memancing data bersasar) yang bernama ‘spear phising’ (pancing data serampang) untuk menceroboh sistem sebuah organisasi.”