
Katanya, sebagai seorang bukan beragama Islam, dia mengakui tidak tahu memakai songkok bersama seluar pendek merupakan perbuatan tidak sopan kerana niatnya hanya untuk menonjolkan semangat kenegaraan.
Katanya, dia sering memakai songkok kerana baginya ia adalah sebahagian daripada pakaian tradisional Baju Melayu.
“Saya tiada niat untuk memprovokasi sesiapa apabila memakai songkok dengan pakaian sedemikian. Saya cuma mahu menunjukkan semangat perpaduan apabila seorang bangsa lain memakai sebahagian daripada pakaian tradisional bangsa lain.
“Saya akui salah dan saya juga seperti semua orang yang sering melakukan kesalahan,” katanya menurut Berita Harian.
Kel Wen berkata, walaupun mendapat kecaman teruk daripada pelbagai pihak, namun dia tidak akan berhenti memakai songkok yang sudah biasa dipakai sejak zaman kecil lagi.
“Cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati mengenakan songkok dengan pakaian yang lebih sesuai bagi mengelak menyinggung perasaan orang lain,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang dikatakan melakukan provokasi terhadap Islam dalam Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW).
“Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan.
“Usahlah kita berperilaku yang melanggar dengan ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila,” katanya di Facebook.