Mengapa masih belum ada libat urus RUU pendanaan politik, soal DAP

Mengapa masih belum ada libat urus RUU pendanaan politik, soal DAP

RUU pendanaan politik seharusnya menjalani proses libat urus menyeluruh seperti RUU anti-lompat parti yang telah diberi penelitian rapi menerusi konsultasi rentas parti.

RUU pendanaan politik seharusnya menjalani proses libat urus menyeluruh yang serupa dengan RUU anti-lompat parti yang telah diberi penelitian rapi menerusi konsultasi rentas parti, kata Biro Dasar DAP.
PETALING JAYA:
Biro Dasar DAP mempersoal mengapa kerajaan masih belum lagi melaksanakan sebarang libat urus mengenai kandungan Rang Undang-Undang (RUU) pendanaan politik dengan pembangkang, walaupun tempoh pembentangan sudah semakin hampir.

Biro Dasar DAP dalam satu kenyataan bersama berkata, RUU berkenaan seharusnya menjalani proses libat urus menyeluruh yang serupa dengan RUU anti-lompat parti yang telah diberi penelitian rapi menerusi konsultasi rentas parti.

“Kami ingin mengemukakan beberapa cadangan supaya dapat disertakan dalam RUU pendanaan parti politik yang bakal dibentangkan kelak. Antaranya seperti penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik yang bebas daripada eksekutif untuk menguatkuasa peruntukan akta secara adil dan saksama.

“Selain itu, mewujudkan mekanisme peruntukan dana awam (public fund allocation) bagi parti politik supaya skandal politik mega seperti 1MDB, LCS dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dapat dielakkan,” kata kenyataan itu.

Kata mereka, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pendanaan politik juga perlu dibentuk bagi memperhalusi butir-butir teknikal RUU tersebut sebelum ia dibentang di Dewan Rakyat.

“Kami percaya semua pihak yang mahu melihat Malaysia bebas daripada belenggu rasuah ingin RUU ini diluluskan.

“Tiada siapa mahu usaha murni ini terbantut hanya kerana pihak kerajaan enggan menjalankan libat urus secara menyeluruh tetapi hanya membuat konsultasi sekadar “cukup syarat” sahaja,” tambah mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Dasar DAP yang Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto; ADUN Pasir Pinji Howard Lee; ADUN Mengkibol Chew Chong Sin; ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan juga ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong.

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan dasar penggubalan RUU sumbangan politik.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.