Majlis Perbandaran Kangar kompaun premis tak kibar Jalur Gemilang

Majlis Perbandaran Kangar kompaun premis tak kibar Jalur Gemilang

Kewajipan memasang Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan di setiap premis perniagaan di Perlis termaktub dalam syarat lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Norazlan Yahaya berkata kompaun RM250 boleh dikenakan kepada premis yang berdegil tidak mengibar Jalur Gemilang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kompaun RM250 mula dikenakan kepada premis perniagaan di Perlis yang masih berdegil tidak mengibarkan Jalur Gemilang, kata Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs).

Yang Dipertuanya, Norazlan Yahaya, berkata hampir 7,000 premis perniagaan yang berada di bawah kawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT) itu merangkumi tiga daerah di Kangar, Arau dan Padang Besar.

“Kita sudah memulakan pemantauan terhadap premis perniagaan di negeri ini kerana kita sudah memberikan peringatan kepada mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan.

“Jumlah kompaun yang dikenakan adalah RM250 sama seperti langkah yang dilaksanakan oleh Majlis Bandar Raya Ipoh, tetapi kita seboleh mungkin mahukan mereka (pemilik premis) ini mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela sambil bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, kewajipan pemasangan Jalur Gemilang terutama ketika bulan kemerdekaan pada setiap premis perniagaan di negeri itu sudah termaktub dalam syarat lesen perniagaan MPKPs.

“Kita mempunyai baki seminggu lagi untuk menyambut Hari Kebangsaan dan setakat ini didapati 80% pemilik premis perniagaan sudah mengibarkan Jalur Gemilang pada premis mereka.

“Namun, dalam tempoh ini juga, kita akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan supaya pemilik premis dapat menyahut seruan ini. Sekiranya mereka terus berdegil, kita akan mengeluarkan kompaun kepada mereka selaras dengan syarat undang-undang kecil,” katanya.

Hari ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan laporan media bahawa pihaknya akan mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 kepada pemilik premis yang gagal memasang Jalur Gemilang.

Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin berkata pihaknya setakat ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kompaun kepada mana-mana premis dan hanya sekadar memberi nasihat sahaja.

Sementara itu bagi Selangor dan Kuala Lumpur, Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun atas perkara tersebut.

Berdasarkan laporan media, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) juga memaklumkan tidak mengenakan kompaun.

Setakat ini hanya Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dilaporkan mula mengenakan kompaun kepada premis yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang sejak 15 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.