Kerajaan digesa mansuh hukuman sebat terhadap penjenayah

Kerajaan digesa mansuh hukuman sebat terhadap penjenayah

Fokus harus ditumpukan pada 'bentuk hukuman yang kreatif, bermakna dan berfaedah dari segi sosial', kata seorang peguam.

Khidmat masyarakat ialah satu bentuk hukuman yang lebih bermakna berbanding dengan hukuman sebat, kata seorang peguam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua peguam dan sebuah kumpulan hak asasi manusia menggesa kerajaan memansuhkan sebatan sebagai hukuman terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan.

Mengulas mengenai pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberikan hakim kuasa budi bicara untuk mengetepikan hukuman sebat, peguam Fahri Azzat berkata, mengaibkan seseorang dengan sebatan selepas menyekat kebebasannya dengan hukuman penjara adalah sesuatu yang tidak bertamadun.

Bercakap kepada FMT, beliau menyeru agar fokus ditumpukan pada “bentuk hukuman yang kreatif, bermakna dan berfaedah dari segi sosial”, seperti khidmat masyarakat dan menggunakan set kemahiran banduan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau juga berkata, kerajaan patut mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai bentuk hukuman lain.

Seorang lagi peguam, Edwin Tomas, berkata memberi kuasa budi bicara kepada hakim akan menjadi satu “langkah ke hadapan”, walaupun lebih baik untuk terus memansuhkan hukuman sebat sama sekali atas dasar konsistensi.

“Segelintir hakim mungkin menjatuhkan (hukuman sebat) manakala yang lain tidak akan menjatuhkannya bagi kesalahan yang sama.

“Ini bercanggah dengan prinsip kesaksamaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tomas juga berkata, hukuman sebat bersifat diskriminasi terhadap lelaki berusia antara 18 dan 50 tahun kerana hanya golongan ini yang dikenakan hukuman itu.

Beliau mengesyorkan Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang memperuntukkan sebatan sebagai hukuman dipinda supaya ia selaras dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menentang penyeksaan dan hukuman kejam yang lain.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata, Malaysia, sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB, mesti bercita-cita untuk mencapai standard antarabangsa dengan berusaha ke arah memansuhkan hukuman sebat.

Katanya, hukuman sebat dianggap sebagai satu bentuk penyeksaan mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa. Penyelidikan menunjukkan penggunaan hukuman dera menggalakkan penerimaan keganasan fizikal serta penggunaan keganasan oleh pihak penguatkuasa, tambahnya.

Wan Junaidi baru-baru ini berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang yang berkaitan agar hakim diberi kuasa budi bicara untuk mengenakan atau mengetepikan sebatan sebagai hukuman.

Beliau juga berkata, terdapat kemungkinan sebatan akan terus dimansuhkan sebagai satu bentuk hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.