Batal konsert antarabangsa atau kami protes, kata Pemuda PAS

Batal konsert antarabangsa atau kami protes, kata Pemuda PAS

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata konsert artis antarabangsa dilihat tidak bersesuaian dengan nilai hidup umat Islam di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membatalkan konsert artis antarabangsa kerana ia menggalakkan budaya hedonisme dalam kalangan umat Islam.
PETALING JAYA:
Pemuda PAS memberi amaran tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan jika gesaan agar konsert artis antarabangsa yang dijadualkan di negara ini tidak diendahkan.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membatalkan konsert sedemikian kerana ia menggalakkan budaya hedonisme menular dan dilihat tidak bersesuaian serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

“Saya sangat mengharapkan agar kerajaan melalui menteri berkaitan menimbangkan untuk membatalkan dan menarik semula kebenaran untuk konsert ini berlangsung.

“NGO (badan bukan kerajaan) dan tenaga perseorangan yang prihatin dengan isu ini kita seru untuk bangkit bersama, jangan dibiarkan budaya hedonisme menular dan menjalar ke dalam masyarakat.

“Mohon gerakkan usaha bantahan ini agar ia sampai ke Seri Perdana Putrajaya,” katanya di Facebook.

Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, membuat gesaan sama pada Jumaat lalu, apabila beliau menegaskan penganjuran bertalu-talu konsert mega adalah “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.

Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil malam sebelumnya.

Parti itu sebelum ini mengecam konsert yang diadakan di negara ini oleh pelbagai artis antarabangsa.

Pada 2016, PAS meminta konsert Selena Gomez diharamkan, mendakwa ia mempromosikan “budaya Barat dan hedonisme”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.