
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan menerusi Twitter berkata, jemputan rasmi akan dikeluarkan untuk taklimat khas itu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 2 petang.
Tanpa menjelaskan secara terperinci tujuan taklimat itu diadakan, katanya, ia berhubung “isu semasa terkini”.
Jemputan itu turut dipanjangkan kepada semua ahli jawatankuasa dan pimpinan Umno bahagian yang ingin hadir.
Hadirin diminta berbaju merah Umno untuk menghadiri taklimat khas itu.
Isnin lalu, Umno mengadakan pertemuan tergempar dengan semua ketua bahagian di Menara Dato Onn, selepas dikhabarkan beberapa ketua bahagian tidak berpuas hati kerana tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sumber Umno memberitahu FMT, keadaan tegang itu menyebabkan Zahid “pening kepala” dan meminta semua ketua bahagian ke ibu negara.
Selepas mesyuarat itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos mendakwa 158 ketua bahagian yang menyertai mesyuarat itu mendesak PRU diadakan “dengan kadar paling segera”.
Katanya, permintaan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob oleh Zahid dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno akan datang.