
Penyelidik undang-undang C4, Arief Hamizan berkata, terdapat kekangan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (APPM) yang menghalang pemberi maklumat bercakap mengenai kes yang mahu diadukan dengan pihak selain agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.
“Secara asasnya, mereka bersendirian selepas melaporkan kepada agensi penguatkuasaan. Ramai juga tidak sedar bagaimana proses pemberian maklumat berfungsi dan di sinilah sistem ini akan memainkan peranan,” katanya kepada FMT.
Istilah “whistleblower” atau pemberi maklumat merujuk individu yang mendedahkan maklumat salah laku dalam sektor awam atau swasta, seperti penipuan, rasuah dan salah guna kuasa.
Ketika perbincangan panel di Forum Anti-rasuah baru-baru ini, Arief berkata, C4 telah mula berbincang tentang kerjasama mengenai portal sehenti itu dengan organisasi lain, termasuk Majlis Peguam.
Sistem pemberi maklumat itu bertujuan menyediakan nasihat am, termasuk sama ada aduan itu merupakan isu “whistleblowing”, risiko, saluran sokongan yang mungkin ada dan nasihat mengenai apa yang boleh dianggap “kelakuan tidak wajar” di bawah APPM.
“Kami turut merancang memberikan nasihat strategik mengenai cara-cara mendedahkan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan sewajarnya, dan nasihat perundangan mengenai hak pengadu di peringkat tertentu perlindungan pemberi maklumat.”
Katanya, sistem itu dijangka siap dan beroperasi hujung tahun ini, walaupun ada beberapa butiran yang perlu diperincikan dalam mengatasi had undang-undang bagi menyokong pemberi maklumat.
Pertama, pemberi maklumat dilarang mendedahkan maklumat sulit selepas membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan.
“Jadi, soalnya adalah bagaimana memberi sokongan dengan cara tidak menghalang mereka daripada menerima atau terus menerima perlindungan,” katanya.
Selain itu, kata Arief, perlu dinilai sejauh mana maklumat berkenaan boleh dikongsikan dengan peguam yang memberikan bantuan perundangan dalam kes seperti itu.
“Jika pemberi maklumat membuat pendedahan kepada kami, mereka tidak akan dilindungi APPM. Namun, kami percaya sokongan perlu disediakan, walaupun sebelum mereka pergi ke sesebuah agensi penguatkuasaan,” katanya.