
Katanya, mesyuarat Biro Politik akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas keputusan Mahkamah Persekutuan, hari ini, menolak rayuan akhir kes Najib Razak untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Dalam hantaran di Facebook, bekas timbalan perdana menteri itu, berkata: “Tiada pengkhianatan sesama kita! Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar!”.
“Marilah kita terus bersama-sama bersolidariti. Susah dan senang Najib kita tetap bersama.
“Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat,” katanya.
Katanya, keputusan mahkamah terhadap Najib perlu dilihat sebagai “peledak semangat” untuk terus membawa perjuangan Najib.
“Inilah peledak semangat dan kita terus bangkit serta terus mara ke hadapan. Walaupun di belakang duri di hadapan api! Kita tempuh bersama-sama!” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyifatkan sabitan terhadap Najib merupakan detik duka buat Umno.
“Kami berada di luar dan dalam mahkamah tadi turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun, ini tidak bermakna kami berputus asa,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berharap, Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.