
Shafee akan membantu peguam utama Hisyam Teh Poh Teik.
Ketika prosiding disambung semula selepas berehat, Hisyam memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Shafee datang ke mahkamah dan akan membantunya dalam permohonan Najib agar Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada panel.
Tengku Maimun kemudian bertanya kepada Hisyam: “Saya ingat dia telah dilepaskan?”
Hisyam memberitahu mahkamah, beliau memujuk Shafee untuk kembali ke pasukan peguam.
Tengku Maimun kemudian berkata, Hisyam boleh memulakan hujahnya dahulu sementara menunggu Shafee tiba.
Shafee tiba selepas jam 11 pagi.
Awal hari ini, Najib membuat permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan terakhirnya itu atas alasan Tengku Maimun tidak sepatutnya mendengar kes itu kerana hantaran suaminya, Zamani Ibrahim di Facebook pada 11 Mei 2018.
Shafee dan dua lagi peguam, Harvinderjit Singh serta Farhan Read sebelum ini mengendalikan kes SRC International itu ketika ia dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Pada 26 Julai lalu, Najib dilaporkan menggugurkan Shafee daripada mewakilinya dalam rayuan terakhirnya dan melantik Zaid Ibrahim Suflan T H Liew & Partners, dengan Hisyam menjadi peguam utamanya.
Khamis lalu, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib atas alasan tidak mempunyai masa mencukupi membuat persediaan bagi kes itu, tetapi ia ditolak panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tengku Maimun.
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah.