Polis pertingkat kawalan keselamatan di Penjara Kajang

Polis pertingkat kawalan keselamatan di Penjara Kajang

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata setakat ini keadaan di sekitar penjara berkenaan terkawal.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata pihak polis hanya meningkatkan kawalan keselamatan di bahagian luar pintu masuk Penjara Kajang.
KAJANG:
Polis meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di sekitar pintu masuk Penjara Kajang, lokasi bekas perdana menteri Najib Razak dihantar, petang tadi untuk menjalani hukuman.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata setakat ini, keadaan di sekitar penjara berkenaan terkawal.

“Keadaan masih terkawal. Berapa ramai kekuatan, saya tidak boleh dedahkan. Bagaimanapun, pihak polis hanya meningkatkan kawalan keselamatan di bahagian luar pintu masuk Penjara Kajang. Selain itu, kawalan keselamatan dilaksanakan oleh pihak penjara itu sendiri,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati petisyen rayuan Najib tidak mempunyai merit.

Tengku Maimun yang mengetuai barisan lima panel hakim memutuskan menolak permohonan rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 28 pada Julai 2020.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd.

Pada 28 Jul 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.