
“PH tidak terus kuat hanya kerana Najib dihukum penjara. PH hanya akan kuat dengan usaha dan ikhtiar sendiri,” katanya kepada FMT.
Dikenali dengan gelaran Bossku, Najib dilihat sebagai pemimpin Barisan Nasional paling aktif dan ke depan mengkritik dan mengusik PH terutama di media sosial.
“Saya tidak pernah memilih Najib sebagai sasaran,” katanya, dan menambah beliau sudah menjangkakan bekas perdana menteri itu akan dipenjarakan.
“Mengikuti kes mahkamah yang beliau hadapi ianya soal masa.”
Dalam pada itu, Saifuddin meramalkan Umno akan terus bergolak, dengan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memuncak.
“Ismail dilihat ‘cuci tangan’ dan ini tidak dapat diterima oleh ahli-ahli Umno yang menyokong Najib,” katanya.
Terdahulu, memetik laporan Bernama, Ismail menafikan beliau didesak ketua Umno bahagian supaya masuk campur dalam kes rayuan akhir SRC International.
“Tiada…tiada,” katanya dalam reaksi ringkas ketika ditanya laporan sebuah media yang mengatakan ada perjumpaan khas melibatkan ketua-ketua bahagian Umno semalam, yang gagal mencapai kata sepakat bagi mendesak beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas perdana menteri itu.
Hari ini, Najib yang juga bekas presiden Umno diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun, termasuk membayar denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan, mengekalkan sabitan dan hukumannya, dalam rayuan akhirnya di mahkamah tertinggi itu.
Tidak cukup dengan keputusan itu, kerusi Ahli Parlimen Pekan itu secara automatik kosong selaras Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap Najib dalam kes SRC adalah kemenangan buat rakyat.
Beliau berkata keputusan itu juga amaran kepada pemimpin politik yang diberikan kuasa dan mandat oleh rakyat supaya jangan sesekali menyalahgunakan kuasa mereka.
“Hari ini merupakan hari kemenangan untuk rakyat Malaysia yang berani membuat perubahan pada 9 Mei 2018. Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini juga merupakan kemenangan untuk sistem demokrasi negara,” katanya di Facebook.