
Kebanyakan pengguna di Twitter dan Facebook memuji keputusan mahkamah tertinggi itu, manakala ada yang memuat naik meme dan imej yang diubah memaparkan Najib di sebalik tirai besi.
“Najib: Game Over (tamat permainan),” kata pengguna Twitter @littledaisy_77.
Banyak juga pengkritik Najib mahu “menghantarnya” ke Sungai Buloh. “Kedalam la awak @NajibRazak,” kata pengguna Twitter @nasuhajua.
Selain itu, ramai juga berkata, keputusan itu seperti hadiah sempena sambutan kemerdekaan.
Warganet seperti pengguna, @Tuahseven7 menyindir aktiviti berpotensi Najib dalam penjara Sungai Buloh.
Bagaimanapun, penyokong Najib mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Pengguna Twitter, @HakeemBahari berkata, sistem keadilan di negara ini tidak telus dan mendakwa Najib menjadi mangsa fitnah.
“Hidup Najib,” katanya.
Pengguna Facebook, Takdir Yg Terindah, menyeru Najib supaya bersabar kerana Allah sentiasa bersama.
Katanya, perjuangan akan diteruskan dan semua kebaikan akan terus dikenang.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman Najib dalam perbicaraan SRC International. Najib, disabit bersalah terhadap salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah, diarah menjalani penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Susulan keputusan berkenaan, Najib menjadi perdana menteri pertama dalam sejarah negara ini dipenjara.