Najib tiba di Penjara Kajang

Najib tiba di Penjara Kajang

Najib Razak tiba di Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 12 tahun.

Najib Razak yang dikawal ketat polis tiba di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman berkait dana RM42 juta SRC International.
KAJANG:
Bekas perdana menteri, Najib Razak tiba di Penjara Kajang, pada 6.05 petang tadi, bagi menjalani hukuman 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib yang tiba dengan kawalan ketat polis diperintah menjalani hukuman selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan terakhirnya.

Bekas presiden Umno itu dibawa menaiki kenderaan SUV hitam dikawal anggota polis, termasuk dari unit kenderaan motosikal pengiring.

Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi melengkapkan proses dokumentasi bagi prosiding hukuman penjara.

Sementara itu, kawalan ketat di pintu masuk utama penjara turut dilakukan petugas penjara dengan melakukan sekatan jalan raya bagi menghalang orang awam dari memasuki Kompleks Penjara.

Pihak polis juga turut mengawal ketat laluan menuju ke pintu masuk penjara.

Orang awam juga turut berkumpul di sekitar laluan masuk Penjara Kajang, bagaimanapun diarah polis supaya bersurai.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas Najib dalam kes SRC International.

Ini bermakna bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan akan mula menjalani hukuman.

Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC, menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 mengekalkan hukuman dan sabitan ke atas Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.