

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Ismail berisiko hilang kedudukannya sebagai “poster boy” Umno bagi PRU15, jika beliau menolak desakan ketua bahagian.
Awang Azman berkata, pemimpin tertinggi lain boleh menggantikan Ismail sebagai calon perdana menteri Umno bagi PRU15, termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Hasan yang juga dikenali sebagai Tok Mat.
Katanya, mengabaikan desakan ketua bahagian akan menyebabkan beliau dianggap tidak mematuhi keputusan parti, menjejaskan popularitinya di mata akar umbi Umno.
Beliau berkata, populariti dalam kalangan akar umbi dan mengekalkan sokongan mereka amat penting apabila Umno mengadakan pemilihan parti.
“Sukar bagi perdana menteri untuk terus memberi pelbagai alasan bagi menangguhkan PRU15 kerana (mengadakannya tahun depan) tidak menguntungkan Umno dan menjejaskan prospek Umno untuk memenangi lebih banyak kerusi,” katanya kepada FMT.

Fauzi berkata, Ismail mungkin berdepan “penyingkiran” sebagai calon perdana menteri Umno pada PRU15. Tetapi katanya, perdana menteri patut menangguhkan PRU, jika beliau yakin parti tidak akan memilihnya.
“Beliau juga boleh melanjutkan penggal Parlimen semasa, melaksanakan lebih banyak pembaharuan politik yang akan menggembirakan pembangkang dan bertukar pihak pada saat-saat akhir kepada susunan politik baharu.”
Ibu Pejabat Umno di Menara Dato Onn menjadi tumpuan media semalam, selepas tersebar berita Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Tok Mat mahu menemui ketua bahagian untuk mesyuarat tergempar berhubung “isu sangat penting bagi masa depan parti”.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos kemudian berkata, kira-kira 158 ketua bahagian mendesak PRU15 diadakan segera, dengan Zahid akan menyampaikan permintaan itu kepada Ismail, naib presiden Umno, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi berikutnya. Umno mempunyai 191 bahagian di seluruh negara.

Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, Ismail perlu menyahut gesaan pemimpin kerana ketua bahagian paling memahami sentimen di lapangan, dan hanya mahukan yang terbaik untuk Umno pada PRU15.
“Ini bukan seorang atau dua atau 10 atau 20 ketua bahagian. Ini lebih 150 wakil dari akar umbi di seluruh negara. (Ismail) tidak patut mengambil mudah, tetapi perlu memberi perhatian terhadap cadangan ini.
“Siapa yang lebih memahami sentimen di lapangan, perdana menteri atau ketua bahagian? Saya tidak fikir mereka hanya terpengaruh dengan Zahid, mereka mahu Umno menang besar,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, tiada isu besar buat masa ini yang boleh menjejaskan Barisan Nasional pada PRU15 dan kontroversi berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) “masih terkawal”.