
Ahli Parlimen Klang itu turut menggesa agar pembaharuan dilaksanakan dalam pengeluaran dan pengurusan sektor makanan bagi memastikan rakyat dapat menanggung kos makanan yang semakin meningkat dalam menghadapi inflasi.
“Tahniah kerana berjaya melengkapkan satu tahun dalam jawatan tertinggi (di negara ini) tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Santiago, seorang ahli ekonomi terlatih, menyatakan bahawa kenaikan harga mendadak memberi impak berlainan terhadap setiap kumpulan masyarakat.

Beliau berkata, komuniti berpendapatan rendah lebih teruk terjejas kerana mereka membelanjakan kira-kira 25% daripada pendapatan bulanan untuk makanan, berbanding dengan komuniti berpendapatan tinggi yang membelanjakan kira-kira 12.6%.
Katanya, komuniti berpendapatan rendah terpaksa bergantung kepada bekalan makanan yang murah tetapi tidak sihat seperti mi segera, dan pemakanan seperti itu membawa kepada kekurangan gizi dalam kalangan kanak-kanak serta menyebabkan risiko diabetes dan penyakit lain bagi mereka meningkat.
“Bagi membantu keluarga-keluarga ini, kerajaan boleh mempertimbangkan pindahan tunai seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), satu program kerajaan Selangor bertujuan meringankan beban makanan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
“Di sini, sejumlah RM300 dipindahkan kepada ibu tunggal dengan anak-anak bawah usia 18 tahun bagi memastikan keluarga miskin, terutamanya kanak-kanak, mendapat akses kepada makanan berkhasiat.”
Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan skim sarapan pagi yang disasarkan untuk mengatasi masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan gizi dalam kalangan murid sekolah.
Menyentuh tentang keperluan untuk memastikan jaminan makanan domestik apabila negara bergantung kepada import, Santiago berkata, satu cara untuk menangani perkara ini adalah melalui penggunaan tanah wakaf – harta persendirian yang didermakan kepada masyarakat untuk kegunaan bersama menurut undang-undang Islam – untuk pengeluaran hasil tani.
“Walaupun daya pengeluaran melalui penggunaan teknologi yang lebih besar harus digalakkan, penting untuk menghapuskan orang tengah dan monopoli yang mengawal pengeluaran dan kos,” katanya.
“Pendek kata, kerajaan mesti menjadikan pertanian lebih menarik, terutamanya bagi golongan muda.”