
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim, berkata pertembungan parti Melayu di negeri itu akan merugikan politik Melayu-Islam.
“PAS Pulau Pinang menyokong kenyataan PAS Pusat bahawa PAS memfokuskan agenda penyatuan ummah serta berusaha memastikan satu lawan satu dalam PRU15.
“Umum mengetahui bahawa Pulau Pinang merupakan nadi utama Pakatan Harapan (PH)-DAP. Maka agenda penyatuan ummah parti Melayu lebih penting di negeri ini bagi mengekang kemenangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Razib menambah, ‘Islam Menyatukan Ummah’ merupakan slogan wajar digalas dan didokong semua penyokong serta pendukung PAS.
Katanya, ini salah satu usaha menyatukan parti politik Melayu dapat dijayakan selari dengan syariat dan dasar parti.
“Penyatuan ummah ini penting serta memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat agar pemerintahan DAP di Pulau Pinang dapat digoyahkan dan kepentingan Melayu-Islam di sini tidak dinafi dan dianak tirikan,” katanya.
Katanya, oleh itu PAS Pulau Pinang menyeru semua pihak menghakis kepentingan peribadi dalam PRU15 dan memastikan undi Melayu-Islam dapat disatukan bagi kesejahteraan serta keharmonian rakyat.