
Laporan didedah kepada umum itu menyebut Latiff sebagai suami kepada seorang wanita, Zainab Mohd Salleh yang didakwa menyeleweng dana RM9 bilion untuk projek LCS.
Ia turut menyebut nama latiff sebagai pengarah syarikat, namun tidak diketahui syarikat mana yang beliau bertugas.
Laporan itu adalah daripada audit forensik oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) terhadap penghantaran lewat LCS bernilai RM9 bilion.
BHIC ialah pemegang saham pengawal Boustead Naval Shipyard (BNS), yang mempunyai kontrak membina enam frigat untuk tentera laut.
Laporan itu turut menyenaraikan pegangan saham Zainab dalam empat syarikat, satu daripadanya berdaftar di Malta dan dua lagi di Labuan.
Terdahulu, hari ini, Latiff menafikan Zainab adalah isterinya seperti didakwa Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.
Rafizi sebelum ini mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga Latiff yang juga bekas timbalan menteri pertahanan.
Syarikat luar pesisir
Laporan audit itu juga menyebut Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat Perancis yang didaftarkan dengan nama sama di Labuan dan Malta sebagai dua syarikat luar pesisir, Alizes Marine Ltd Labuan dan Alizes Marine Ltd Malta.
Kedua-dua syarikat luar pesisir itu disebut oleh Rafizi awal hari ini, bahawa ia digunakan untuk menyedut dana daripada projek LCS.
Menurut laporan audit, Alizes Marine Ltd Labuan didaftarkan pada 18 Feb 2011, dan dibubarkan pada 2019 serta tidak wujud pada tarikh laporan, yang disediakan pada Julai 2020.
Alizes Marine Ltd Malta didaftarkan pada 18 April 2011, dan dibubarkan pada 4 Feb 2014, kata laporan itu.