
Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, kebanyakan kerajaan di seluruh dunia telah menaikkan umur persaraan sebagai tindak balas dasar.
“Ia bukan soal ‘sepatutnya’ tetapi ‘bila’ Malaysia akan mengikuti jejak langkah (negara lain), memandangkan ramai rakyat tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya kepada FMT.
Kerajaan sebelum ini mendedahkan bahawa kira-kira RM145 bilion telah dikeluarkan daripada simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja semasa wabak Covid-19.
Yeah berkata, kerajaan mesti menyediakan lebih banyak program celik kewangan dan pendidikan serta skim insentif untuk meningkatkan kadar simpanan bagi golongan lebih muda.
“Bagi golongan lebih berusia yang berdepan persaraan tidak lama lagi tanpa simpanan yang mencukupi, kerajaan boleh menyediakan insentif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan agar pesara dapat satu sumber pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, sokongan pendapatan langsung atau bantuan dalam bentuk pindahan tunai daripada kerajaan juga diperlukan.
Bagaimanapun, Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, sukar bagi kerajaan untuk menangani masalah itu disebabkan beban hutangnya yang berat. Putrajaya “tidak berada dalam kedudukan untuk membantu”, katanya.
“Orang ramai harus bijak merancang masa depan dan tidak berbelanja pada perkara yang mahal. Jika kerajaan berbelanja secara berlebihan dalam usaha menggembirakan rakyat, ia akan terpaksa meningkatkan kutipan cukai dan ini akhirnya akan merugikan rakyat dalam jangka masa panjang,” katanya kepada FMT.
Minggu lepas, Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah berkata, program berkaitan Covid-19 sejak dua tahun lalu telah menjejaskan simpanan ahli KWSP sekitar RM155 bilion.
Kira-kira RM145 bilion dikeluarkan melalui beberapa kemudahan pengeluaran KWSP, manakala ahli KWSP mengalami kerugian RM10 bilion apabila caruman KWSP berkanun dikurangkan antara April 2020 dan Jun 2022.
Perunding kewangan Logajothi Sivaras daripada Public Mutual Berhad berkata, mereka yang bercadang untuk bersara harus melakukan “pemeriksaan kesihatan kewangan”.
Logajothi berkata, ini akan membantu memberikan gambaran yang jelas tentang keadaan kewangan individu.
Selain itu, katanya, terdapat platform alternatif seperti Amanah Saham, unit amanah atau skim persaraan swasta untuk membantu meningkatkan simpanan persaraan.
“Di samping itu, pelaburan hartanah, pelaburan emas dan ekuiti akan menambah pendapatan persaraan individu,” katanya kepada FMT.