Kalah jawatan ketua bahagian, Ahli Parlimen PKR nafi mahu sertai Muda

Kalah jawatan ketua bahagian, Ahli Parlimen PKR nafi mahu sertai Muda

June Leow Hsiad Hui berkata pertemuan dengan Muda hanya membincangkan isu semasa dan menegaskan masih setia bersama PKR.

Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui berkata pertemuan dengan Muda hanya bagi membincangkan isu semasa politik.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui nafi akan menyertai Muda selepas kalah dalam perebutan jawatan ketua PKR bahagian itu Mei lalu.

Leow berkata, laporan media mengatakan beliau akan menyertai Muda selepas mengadakan pertemuan dengan parti itu minggu lalu adalah tidak benar.

Katanya, pertemuan itu hanya bagi membincangkan isu semasa dan menegaskan masih setia bersama PKR.

“Tak betul (mahu sertai Muda). Perjumpaan dengan Muda Hulu Selangor itu hanyalah sebagai pertemuan antara kawan untuk tukar pandangan dan bincang isu semasa dalam politik. Itu sahaja.

“Ya (masih setia dengan PKR),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaan beliau akan menyertai Muda untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Minggu lalu, Leow mengadakan pertemuan dengan Muda Hulu Selangor yang diketuai Siva Prakash.

Siva di Facebooknya berterima kasih kepada Liew kerana sudi menerima kunjungan Muda Hulu Selangor 17 Ogos lalu.

Leow merupakan penyandang ketua bahagian selama dua penggal kalah kepada Dr Sathia Prakash Nadarajan dalam perebutan jawatan ketua PKR bahagian Hulu Selangor pada Mei lalu.

Leow sebelum ini memperoleh 1,518 undi, berbanding Dr Sathia, 1,807 undi, dengan kemenangan majoriti 289 undi. Dalam pada itu, seorang lagi calon ketua bahagian, Azizan Zakari, hanya memperoleh 146 undi.

Sementara itu, Leow menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR untuk memilihnya atau tidak bagi mempertahankan kerusinya di Hulu Selangor.

“Itu serah pucuk pimpinan untuk pilih bertanding,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.