Jangan guna alasan Parlimen tergantung halang PRU, kata Zahid

Jangan guna alasan Parlimen tergantung halang PRU, kata Zahid

Presiden Umno mengambil contoh kerajaan New Zealand pada 1996-2020 terbentuk daripada Parlimen tergantung yang mana negara itu kini tetap maju dan stabil.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata alasan Parlimen tergantung hanya mitos politik semasa yang menceritakan perkara kurang benar, malah boleh dibuktikan sebaliknya.
PETALING JAYA:
Umno meminta mana-mana pihak, tidak menjadikan alasan bimbang Parlimen akan tergantung bagi menghalang diadakan pilihan raya umum (PRU).

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata alasan tersebut hanya mitos politik semasa yang menceritakan perkara yang kurang benar, malah boleh dibuktikan sebaliknya.

Menurut pengerusi BN itu, sebelum ini profesor sains politik dan demokrasi tersohor, Wong Chin Huat memberikan pencerahan mengenai isu Parlimen tergantung pada Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Profesor itu menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku ‘hung Parliament’ atau Parlimen tergantung.

“Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu, malah tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, semua pihak perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik dengan memberi contoh kerajaan New Zealand pada 1996-2020 terbentuk daripada Parlimen tergantung yang mana negara itu kini tetap maju dan stabil.

“Autoriti pencerahan oleh profesor sains politik itu mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik semasa.

“Justeru, janganlah menggunakan alasan takut Parlimen tergantung seperti cuba dikhabarkan bagi menghalang PRU diadakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.