Dewan Ulama PAS gesa kerajaan kawal budaya hedonisme

Dewan Ulama PAS gesa kerajaan kawal budaya hedonisme

Ketuanya Ahmad Yahya berkata, penganjuran konsert artis barat mahupun tempatan yang berhibur di luar batasan agama sememangnya merosakkan pemikiran masyarakat.

Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya penganjuran konsert artis barat mahupun tempatan yang berhibur di luar batasan agama sememangnya merosakkan pemikiran masyarakat.
PETALING JAYA:
Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya menggesa kerajaan mengambil berat penganjuran konsert dan penularan budaya hedonisme dalam negara ketika ini.

Beliau berkata, penganjuran konsert artis barat mahupun tempatan yang berhibur di luar batasan agama sememangnya merosakkan pemikiran masyarakat, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Pembawaan artis-artis luar negara, apatah lagi dengan imej pendukung tegar lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dikendong bersama akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan golongan muda.

“Keterlibatan artis tempatan yang membawa contoh tidak baik dalam program-program dalam negara juga wajar dikekang dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya pembabitan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) seolah-olah sekadar cukup syarat sahaja jika pandangan serta tegahan mereka tidak didengari oleh pihak jawatankuasa berkenaan.

“Lebih membimbangkan apabila penganjuran konsert itu berlaku ketika Hari Kebangsaan hampir tiba dan dalam keadaan umat Islam baru saja menyambut Maal Hijrah 1444H.

“Bertindak tegas hari ini atau tunggu kerosakan ‘memakan’ tiang seri negara dan agama pada masa akan datang,” katannya.

Terdahulu, beberapa pemimpin PAS mengkritik penganjuran konsert mega Billie Eilish yang bertentangan dengan Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.