LCS: ‘Zainab’ dalam berita tular bukan isteri saya, kata Latiff Ahmad

LCS: ‘Zainab’ dalam berita tular bukan isteri saya, kata Latiff Ahmad

Abd Latiff Ahmad sedia memberikan kerjasama penuh jika pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya.

Abd Latiff Ahmad menegaskan Zainab Mohd Salleh bukan isterinya seperti berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad menafikan individu bernama “Zainab Mohd Salleh” yang disebut dalam satu berita tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir adalah isterinya.

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana dinyatakan dalam berita tersebut,” katanya dalam kenyataan ringkas, tanpa menyediakan pautan kepada laporan tersebut.

Latiff berkata, sebagai anggota Kabinet, beliau bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu, dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataan mendakwa isteri seorang menteri persekutuan dinamakan sebagai pemilik dua syarikat, yang didakwa menyeleweng dana projek LCS bernilai RM9 bilion.

Katanya, kedua-dua syarikat itu mempunyai nama yang serupa dengan sebuah syarikat Perancis. Syarikat-syarikat tersebut telah didaftarkan sebagai syarikat luar pesisir di Malta dan Labuan.

Katanya, individu tersebut, yang dilantik sebagai perunding teknikal dan pembekal alat ganti, menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakannya. Akibatnya, sebanyak RM243 juta diseleweng.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen memaklumkan Putrajaya membelanjakan RM6.08 bilion bagi projek LCS untuk tentera laut, tetapi tiada satu pun daripada enam kapal tersebut disiapkan atau dihantar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.