Selepas menang 3 penggal di Tapah, Nur Jazlan pelawa Saravanan tawan Pulai

Selepas menang 3 penggal di Tapah, Nur Jazlan pelawa Saravanan tawan Pulai

Timbalan ketua Umno Johor berkata, jika Saravanan menang ia cukup bermakna dan besar buat BN manakala Saravanan akan dijulang sebagai hero.

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berbesar hati mempelawa Timbalan Presiden MIC M Saravanan bertanding di Parlimen Pulai kerana ratio kaum dan pengundi yang seimbang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed mempelawa M Saravanan bertanding di Parlimen Pulai pada pilihan raya umum akan datang selepas timbalan presiden MIC itu mendakwa beliau “tidak sedar diri” dan menjadi punca Umno serta Barisan Nasional (BN) jatuh.

“Sebab saya sedar dirilah, maka saya ambil keputusan untuk berundur, beri laluan kepada orang lain dan tak lagi bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

“Saya berbesar hati untuk menjemput pula menteri sumber manusia (Saravanan) bertanding di kerusi Pulai yang saya anggap sebagai kerusi Keluarga Malaysia kerana ratio kaum dan pengundi di sini agak seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Nur Jazlan sebelum ini pernah menjemput enam pemimpin BN untuk bertanding di kerusi itu namun masing-masing hanya “membisu”.

Mereka adalah Presiden MCA, Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa; Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Mengimbas kejatuhan BN pada PRU 2018, Nur Jazlan berkata MCA dan MIC ada menyatakan hasrat keluar daripada gabungan itu untuk mencari rakan strategik baru dan pernah memboikot satu mesyuarat tertinggi BN dipercayai membantah pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung BN.

“Siapakah sebenarnya yang jadi punca kejatuhan BN? Siapakah yang cuba mengkhianati BN? Siapakah yang cuba lari daripada asas perjuangan BN?

“Saya bukan mahu ungkit kisah lama tapi saya mahu beri kesedaran kepada parti komponen dalam BN terutamanya MIC tentang apa yang pernah mereka cuba lakukan selepas PRU14 lalu,” kata bekas Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal itu.

Nur Jazlan berkata, MIC perlu menerima hakikat parti itu kalah di semua kerusi kawasan bandar dan hanya bergantung kepada kerusi luar bandar seperti Tapah dan Cameron Highlands.

“Mungkin dengan kehebatan Saravanan sebagai pemegang tiga penggal kerusi Parlimen Tapah boleh memberikan kemenangan kepada BN di Pulai jika dia bertanding di sini,” katanya.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan permintaan Presiden MIC, S Vigneswaran yang mahu parti itu bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15.

“Saya percaya jika Saravanan dapat memberikan kemenangan kepada BN sebagai calon Parlimen Pulai, ia satu kemenangan yang cukup besar dan bermakna.

“Saya yakin dia akan disanjung dan dijulang sebagai hero macam dalam filem Tamil, Bahubali. Saya pun akan ‘salute’ dia,” sindirnya.

Pada 10 Ogos, Nur Jazlan yang juga ketua Umno Kulai di Facebooknya berkata, Umno tidak boleh lagi terlalu mengharapkan parti komponen lain iaitu MCA dan MIC untuk memberikan sumbangan besar kepada gabungan politik berkenaan pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.