Rafizi dedah nama ‘jerung’ didakwa seleweng dana LCS esok

Rafizi dedah nama ‘jerung’ didakwa seleweng dana LCS esok

Timbalan presiden PKR berkata beliau tidak mahu hanya nama kecil sahaja dikenakan tindakan dengan membiarkan nama besar terlepas.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata beliau berani berbuat demikian kerana sudah mempunyai bukti.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan mendedahkan nama ahli politik yang disifatkannya sebagai “jerung” kerana didakwa terlibat dalam penyelewengan wang projek kapal tempur pesisir (LCS), esok.

Dalam hantaran di Facebook, Rafizi berkata, identiti ahli politik itu boleh didedahkan memandangkan bukti sudah ada.

“Insya-Allah esok, 22 Ogos saya akan mendedahkan ahli politik yang terlibat dalam penyelewengan wang projek kapal LCS.

“Dia boleh dinamakan kerana bukti telah ada,” katanya dalam hantaran itu.

Katanya, beliau tidak mahu hanya “bilis” sahaja dikambinghitamkan dalam proses perolehan aset ketenteraan tentera laut itu.

“Saya membuat keputusan untuk menamakan ahli politik tersebut untuk mengelakkan beberapa bilis sahaja dikambinghitamkan sedangkan jerung-jerung terlepas,” katanya.

Pada 16 Ogos, bekas panglima tentera laut, Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

Tertuduh yang juga pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

BNS diberikan kontrak membina enam LCS membabitkan kos RM9 bilion, namun siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati, tiada sebuah pun aset itu diserahkan kepada kerajaan selepas RM6 bilion dibelanjakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.