Cadangan bina landasan kereta api kargo ke Pelabuhan Lumut tidak dibantah

Cadangan bina landasan kereta api kargo ke Pelabuhan Lumut tidak dibantah

Projek menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu bagaimanapun belum diluluskan walaupun kesemua anggota exco kerajaan negeri secara dasarnya mereka telah menyatakan persetujuan.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, anggota exco negeri tidak membantah cadangan pembinaan landasan kereta api kargo ke Pelabuhan Lumut. (Gambar Bernama)
TAIPING:
Mesyuarat exco kerajaan negeri sebulat suara tidak membantah cadangan projek pembinaan landasan kereta api kargo dari Kanthan, Chemor ke Pelabuhan Lumut oleh sebuah syarikat swasta tempatan, kata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Katanya, bagaimanapun, projek menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu belum diluluskan lagi walaupun kesemua anggota exco kerajaan negeri secara dasarnya telah menyatakan persetujuan.

“Tiada bantahan daripada anggota exco kerajaan negeri asalkan (projek) itu tidak membebankan kerajaan negeri.

“Kita bertanggungjawab menentukan laluan serta menyediakan tanah untuk landasan kereta api,” katanya kepada pemberita selepas Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Taiping, di Dewan Ustaz Zaki, Kampung Pinang, Kamunting, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Mohd Azmurin Mat Khalib dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Perak, Aminuddin Ab Karim.

Saarani berkata sekiranya projek pembinaan kereta api kargo itu dilaksanakan akan merancak dan memperkasakan industri baharu di sekitar daerah Kinta.

“Perkhidmatan kereta api kargo itu akan memudahkan urusan pengangkutan pelbagai barangan dagangan ke Pelabuhan Lumut yang mana pelabuhan itu akan dibangunkan kepada sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.