Tabika kemas kisah kejayaan kerajaan, kata Ismail

Tabika kemas kisah kejayaan kerajaan, kata Ismail

Perdana menteri berkata, ramai pemimpin yang berjaya hari ini mendapat pendidikan awal di tabika Kemas, khasnya mereka yang berasal dari luar bandar.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan pendidikan tabika Kemas bagi memastikan kanak-kanak dapat belajar dalam situasi selesa. (Gambar Bernama)
BERA:
Pelaksanaan tabika Kemas antara kisah kejayaan kerajaan kerana ramai yang berjaya hari ini, termasuk pemimpin yang mula mendapat pendidikan awal di pusat bimbingan kanak-kanak itu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, disebabkan itu, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan pendidikan tabika Kemas bagi memastikan kanak-kanak dapat belajar dalam situasi selesa.

“Kemas merupakan salah satu cerita kejayaan kerajaan. Ramai yang berjaya pada hari ini…yang menjadi pemimpin pada asalnya mendapat pendidikan awal di tabika Kemas, terutamanya mereka yang berasal dari luar bandar.”

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ramlan Harun, Ketua Pengarah Kemas, Mohamad Yasid Bidin serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Norolazali Sulaiman.

Sebagai contoh, Ismail merujuk peruntukan khas bagi Program Bantuan Makanan Tambahan (PMBT) kepada kanak-kanak tabika dan taska Kemas di seluruh negara, yang mana RM140 juta disediakan tahun ini untuk manfaat 225,281 murid tabika dan 9,716 kanak-kanak taska.

Di Pahang, Ismail berkata, Kemas secara keseluruhannya menerima peruntukan sebanyak RM2.36 juta yang merangkumi peruntukan pembangunan dalam bidang kemahiran, pembangunan komuniti dan pendidikan awal kanak-kanak.

Menyentuh daerah Bera, beliau berkata, empat premis tabika Kemas yang terjejas banjir awal tahun ini selesai dibaiki dengan peruntukan hampir RM150,000, selain kerajaan sedang mengkaji cadangan membina Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Bera dan menaik taraf Pusat Komuniti Kemas kepada Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Bera dengan kos RM18.927 juta.

Cadangan itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Boleh Pinda ketiga tahun hadapan, dan kewujudan pusat tersebut diharapkan dapat menyediakan kemudahan tempat dan penginapan untuk peserta aktiviti Kemas.

Dalam ucapan itu, Ismail juga menegaskan pendidikan merupakan agenda utama kerajaan dan menjadi aspek paling dititikberatkan beliau sejak menjadi Ahli Parlimen Bera pada 2004 kerana pendidikan awal merupakan permulaan kepada kejayaan lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.