
Katanya, PAS kini muflis idea dan cuba mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, ketika masyarakat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan ekonomi suram, PAS hanya mengambil berat menjadi “polis moral” dan cuba mengganggu hak rakyat yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“PAS harus mengakui dan menghormati rakyat Malaysia mampu berfikir serta menilai sendiri apa jua bentuk hiburan, dan nasib negara terletak pada tadbir urus dan dasar baik, bukannya jumlah konsert yang kita anjurkan.
“Mereka harus ‘keluar dari tempurung’ dan menangani isu sebenar yang melibatkan rakyat Malaysia, bukannya cuba melanggar hak orang lain yang dilindungi di bawah Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengutuk penganjuran konsert “bertalu-talu” di negara ini yang disifatkannya “kerja gila” dan “menjemput” kemurkaan Allah.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana konsert secara khusus.
Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu.