
Pengasas Komuniti Muslim Universal (KMU), Aizat Shamsuddin berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) harus mengambil iktibar terhadap dakwaan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) bahawa tiada tindakan dalam kes menghina agama lain, selain Islam.
Katanya, kegagalan melindungi kebebasan beragama minoriti boleh menjadi faktor penghijrahan, dengan ahli kumpulan minoriti agama lazimnya ke negara yang mempunyai masyarakat lebih menerima dan kedaulatan undang-undang berkesan.
“Banyak contoh penghijrahan seperti ini boleh dilihat daripada negara yang berdepan konflik antara etnik dan agama,” katanya memetik Afghanistan, Pakistan, China dan Myanmar.
“Tindakan terpilih daripada pihak berkuasa juga boleh menyumbang kepada rasa tidak puas hati dan rungutan dalam komuniti minoriti itu yang boleh menjejaskan perpaduan sosial serta keyakinan orang ramai terhadap institusi negara.”
Baru-baru ini, jurucakap GHRF, Peter John Jaban mendakwa wujud sikap dwistandard dalam mengendalikan kes penghinaan agama, di mana tindakan segera sering diambil terhadap mereka yang dituduh menghina agama Islam, tetapi bukannya individu yang menghina agama lain.
Memetik kes Wan Asshimah Kamaruddin, yang didakwa menggesa gereja di Sarawak ditutup, beliau berkata, 61 laporan polis dibuat terhadapnya untuk video yang disiarkannya pada Mac 2021 dan AGC hanya mengambil tindakan selepas orang ramai memfailkan saman sivil tahun ini.
Bagaimanapun, Ryan Chua dari Pusat Komas berkata, tidak mungkin dakwaan dwistandard itu menjadi faktor utama dalam fenomena penghijrahan bakat.
“Saya fikir ia agak tidak masuk akal untuk mengaitkannya sampai tahap itu,” katanya kepada FMT.
“Kami di Pusat Komas percaya perkauman berinstitusi dan layanan baik terhadap kaum tertentu, pada tahap tertentu, mungkin menyumbang kepada penghijrahan bakat. Tetapi, kita perlu faham penghijrahan bakat tidak melibatkan orang bukan Melayu saja.
“Orang Melayu juga berhijrah ke luar negara untuk mencari peluang lebih baik. Kita dapat lihat ada ramai daripada mereka berbuat demikian. Kita juga perlu melihat kelas sosial mereka.”
Tetapi, Chua menggesa tindakan diambil terhadap individu yang menghina agama minoriti.
“AGC perlu ingat fungsinya untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia dan bukan hanya satu kaum,” katanya.
Beliau turut menggesa Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang dicadangkan Majlis Perundingan Perpaduan Negara ketika Pakatan Harapan memerintah.
Pada 2020, Kementerian Perpaduan Negara berkata, rang undang-undang berhubung suruhanjaya itu tidak akan dibentangkan kerana sudah ada undang-undang mencukupi bagi menangani isu berkaitan kaum dan agama.
Aizat mencadangkan AGC dan polis mencari pendekatan alternatif tanpa hukuman, seperti mewajibkan pelaku berdepan pihak terkilan dan memohon maaf secara terbuka.
“Ini supaya pelaku memahami kesan kata-katanya terhadap mangsa dan menunjukkan kekesalan. Ia juga akan mengarusperdanakan pengantaraan dalam masyarakat untuk menggalakkan dialog antara pihak bertikai tanpa melalui proses mahkamah yang mungkin tidak berkesudahan dan sehala.”