Jalin kerjasama politik? PAS tak ada masalah dengan Dr M, kata Tuan Ibrahim

Jalin kerjasama politik? PAS tak ada masalah dengan Dr M, kata Tuan Ibrahim

Hari ini, PAS mengumumkan jemputan dibuat kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS kali ke-68, awal bulan depan.

Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS tidak ada masalah dengan Dr Mahathir Mohamad, namun belum ada perbincangan menjalin kerjasama dengannya menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
PETALING JAYA:
PAS menjelaskan parti itu tidak mempunyai “masalah” dengan Dr Mahathir Mohamad walaupun belum ada perbincangan untuk menjalin kerjasama dengan gabungan baharu diterajuinya, Gerakan Tanah Air (GTA), kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan presiden PAS itu berkata, bagaimanapun tumpuan ketika ini fokus kepada usaha memperkukuhkan persiapan Perikatan Nasional (PN) berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kita tiada masalah dengan Dr Mahathir, tetapi buat masa ini belum ada perbincangan (bersama beliau) untuk menjalin kerjasama menghadapi PRU15.

“Setakat ini, kita perkukuhkan dulu kekuatan PN dalam persiapan menghadapi PRU-15, perkara selebihnya kita akan tentukan selepas ini,” lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika memperjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai keterbukaan PAS bekerjasama dengan mana-mana parti politik, selain Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, memetik laporan Bernama, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata partinya turut menjemput Mahathir selaku pengerusi GTA untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 pada 3 dan 4 Sept.

Selain itu, katanya wakil semua parti komponen Perikatan Nasional dan pimpinan tertinggi Umno turut dijemput.

Beliau berkata sejajar dengan muktamar kali ini, PAS turut mengadakan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, Muktamar Dewan Ulama PAS, Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat, Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Konvensyen Assabiqun (veteran) PAS pada 1 dan 2 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.