Aktivis ragui platform pelaporan baharu mampu tangani kes buli di sekolah

Aktivis ragui platform pelaporan baharu mampu tangani kes buli di sekolah

James Nayagam berkata pihak sekolah memainkan peranan dalam membantu mangsa kes buli dengan lebih berkesan.

PETALING JAYA: Seorang aktivis hak kanak-kanak mempersoalkan keberkesanan platform pelaporan baharu yang bakal dilancarkan oleh kerajaan dalam usaha menangani masalah buli di sekolah.

James Nayagam turut mempersoal sama ada kajian perintis telah dijalankan bagi menentukan keberkesanannya.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengenai platform tiga hala, iaitu hotline, e-mel serta sistem pengurusan aduan dengan butirannya boleh didapati di https://www.moe.gov.my/aduanbuli.

Nayagam yang mempunyai pengalaman dalam menangani kes buli selama 40 tahun berkata, beliau percaya bahawa guru mahupun pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam membantu mangsa dengan lebih berkesan.

Katanya, kakitangan sekolah boleh mengenal pasti kedua-dua mangsa dan pembuli, serta memberikan kaunseling kemudian.

“Mereka yang dibuli akan berasa sukar untuk meluahkan perasaan mengenai perkara tersebut, jadi apabila mereka melakukannya, adalah lebih baik seseorang dapat menasihati mereka dengan segera untuk mengetahui isu buli dengan lebih lanjut,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menegaskan bahawa kementerian wajar memastikan pihak yang mengendalikan talian hotline dilatih tentang cara pengendalian panggilan daripada mangsa buli dan juga pemberi maklumat.

Nayagam turut menambah, kementerian juga perlu menyatakan secara jelas mengenai apa yang akan dilakukan selepas menerima sebarang laporan kes buli.

“Siapa yang akan mengendalikan kes-kes tersebut? Adakah wujudnya tindakan susulan laporan yang dilakukan mahupun pemantauan kes-kes itu?

Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra pula mengalu-alukan platform pelaporan buli itu, dengan berkata ia boleh membantu mangsa yang nasib mereka tidak diendahkan.

“Ini adalah satu lagi cara untuk melaporkan kes buli kepada pihak atasan (kementerian pendidikan).

“Sesetengah pengadu mendapati bahawa pihak sekolah memilih untuk tidak mengendahkan, tidak mengambil tindakan, menyembunyikan kes sedemikian ataupun ‘memencilkan’ insiden semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada perasaan malu dan sebarang siasatan lanjut.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.