Senarai hitam kelab komedi keterlaluan, kata peguam

Senarai hitam kelab komedi keterlaluan, kata peguam

Bastian Pius Vendargon berkata, hukuman itu nampak melampau, melainkan DBKL ada alasan lain untuk berbuat demikian yang tidak diketahui umum.

Pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam daripada mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup, walaupun menggunakan nama dan syarikat berbeza. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang peguam mengkritik keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang disifatkannya “keterlaluan” dalam menyenaraihitamkan pemilik Crackhouse Comedy Club seumur hidup susulan kontroversi persembahan seorang wanita.

Bastian Pius Vendargon berkata, hukuman itu nampak melampau, melainkan DBKL mempunyai alasan lain untuk berbuat demikian yang tidak diketahui umum.

“Tidak kiralah betapa tidak sesuai sekalipun persembahan komedi tetamu itu, menghukum kelab dan pemiliknya dengan cara ini nampak seperti reaksi melampau,” katanya kepada FMT.

Keputusan senarai hitam itu menyusul tindakan DBKL menggantung sementara operasi kelab komedi itu awal bulan lalu, susulan klip video tular memaparkan seorang wanita menanggalkan pakaian menutup aurat ketika melakukan persembahan.

Wanita itu didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan umat Islam. Teman lelakinya pula didakwa memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Pengasas bersama kelab berkenaan, Rizal van Geyzel turut ditahan susulan kemunculan semula beberapa video lama yang menunjukkan persembahan komedi kontroversi.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, senarai hitam itu bermakna pemilik kelab komedi itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur, walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan.

Vendargon berkata, hak asasi pemilik kelab itu mengikut Perlembagaan, termasuk kebebasan bersuara dan mencari rezeki mungkin dicabuli, jika mereka tidak bersalah.

“Jika begitu, mereka mungkin boleh mempertimbangkan untuk mencabar keputusan DBKL menerusi semakan kehakiman,” katanya sambil menambah senarai hitam itu akan memberi mesej negatif kepada pelabur dan ahli perniagaan yang mengharapkan undang-undang serta pihak berkuasa bertindak “adil, sama rata dan tidak dikuatkuasakan sembarangan”.

Semalam, peguam Crackhouse Comedy Club berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah, melainkan arahan pembatalan lesen dan senarai hitam itu ditarik balik dalam tempoh 48 jam.

Menurut mereka, pemilik terbabit tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan itu, malah tidak pernah didapati bersalah atas sebarang kesalahan yang mewajarkan keputusan DBKL itu.

Pelawak Harith Iskander ketika mengulas tindakan senarai hitam itu menyoal sama ada pemilik perniagaan lain yang menghadapi kes mahkamah juga berisiko dikenakan tindakan sama.

“Kes ini agak unik kerana melibatkan pemilik perniagaan yang menunggu untuk dibicarakan. Adakah ini juga boleh berlaku kepada orang lain?” soalnya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.