
Dalam hujahannya, pendakwa ad hoc V Sithambaram menyentuh bagaimana SRC ditubuhkan dan memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Dalam dua hari rayuan pendengaran berlangsung, beliau berkata, sejumlah besar wang itu iaitu RM3.6 bilion dihantar ke Bank BSI di Lugano, Switzerland pada 2012, manakala baki RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib Razak antara 2014 hingga 2015.
Pendakwaan memberitahu mahkamah, RM42 juta itu “digunakan oleh perayu (Najib) untuk manfaat peribadi dan tujuan politiknya”.
Sithambaram berkata, dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dua saksi – Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Ung Su Ling – memberitahu mereka memaklumkan kepada Najib bahawa wang daripada SRC sudah didepositkan dalam akaun banknya.
“Beliau (Najib) secara sedar tidak melakukan apa-apa berhubung perkara itu kerana mengetahui ia akan mendedahkan niat jenayah dalam melakukan kesalahan tersebut,” katanya.
Najib memohon mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta dana SRC yang memasuki akaun banknya.
Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.
Pada 28 Jul 2020, Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi. Sabitannya juga dikekalkan di Mahkamah Rayuan, pada 8 Dis tahun lalu, termasuk hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pendengaran bersambung pada Selasa, 23 Ogos.
Panel Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, serta Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah.