Jho Low turut ‘urus’ akaun Najib, mahkamah diberitahu

Jho Low turut ‘urus’ akaun Najib, mahkamah diberitahu

Menurut pendakwaan Jho Low bersama bekas ketua setiausaha sulit Najib Azlin Alias dan bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil bertanggungjawab memastikan akaun Najib Razak mempunyai dana mencukupi.

Pihak pendakwaan berkata ketika mereka menyoal balas Najib Razak sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan itu mengakui berkomunikasi dengan Jho Low untuk memastikan terdapat ‘wang yang mencukupi’ dalam akaunnya. (Gambar Bloomberg)
PUTRAJAYA:
Pihak pendakwaan dalam rayuan SRC International Najib Razak memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho antara individu yang “menguruskan” akaun bank bekas perdana menteri itu.

Pendakwa ad hoc, V Sithambaram, berkata Low, bekas ketua setiausaha sulit Najib Azlin Alias dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC International Nik Faisal Ariff Kamil bertanggungjawab memastikan akaun Najib mempunyai dana mencukupi.

“Mereka (pihak pembelaan) mengatakan bahawa Jho Low ‘memanipulasi’ akaun (Najib) tetapi itu tidak mungkin,” katanya.

“Bekas pengurus perhubungan (Joanna Yu) berkata, beliau menggunakan BBM (Blackberry Messenger) untuk berkomunikasi dengan Low dan Nik Faisal apabila dana datang atau apabila dana dalam akaun berkurangan.

Yu ialah pengurus perhubungan Ambank ketika itu yang mengendalikan akaun Najib.

Sithambaram menegaskan bahawa ketika pihak pendakwaan menyoal balas Najib sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan itu mengakui berkomunikasi dengan Low dan Azlin untuk memastikan terdapat “wang yang mencukupi” dalam akaunnya.

“Dia (Najib) berhujah bahawa Low memanipulasi akaunnya dan ‘menyebabkan’ RM42 juta mengalir ke akaunnya tanpa persetujuan dan pengetahuannya, serta dia ‘diperangkap’ Low.

“Jelas daripada kes pembelaan bahawa hujah ini kurang bijak dan tidak mempunyai kredibiliti kerana dia dengan mudah mengakui dia yang mengarahkan Low, Azlin dan Nik Faisal untuk memastikan akaunnya mempunyai wang yang tersedia untuk membolehkannya mengeluarkan cek tidak terkira banyaknya, bernilai berjuta-juta,” katanya.

Sithambaram berkata, dari 2011 hingga 2015 – ketika akaun Najib ditutup – bekas perdana menteri itu tidak pernah membuat sebarang aduan terhadap bank mengenai jumlah RM42 juta itu.

Perbicaraan diteruskan di hadapan panel dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Hakim lain bersidang termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohamad Diah.

Najib sedang merayu untuk membatalkan sabitannya bagi tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM42 juta dana SRC International yang masuk ke akaun banknya.

Sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, begitu juga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.