Umno, PAS hentikan bertelagah di media sosial, kata ahli MKT Umno

Umno, PAS hentikan bertelagah di media sosial, kata ahli MKT Umno

Ia susulan 'perang mulut' antara Umno Kedah dengan menteri besar berhubung kerjasama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli MKT Umno Reezal Merican Naina Merican berkata menggunakan media sebagai medium untuk mengutarakan pandangan yang bersifat sensitif.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menasihatkan pemimpin parti itu dan PAS supaya berhenti bertelagah termasuk membuat kenyataan di media sosial hingga boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua parti itu.

Reezal Merican Naina Merican berkata, nasihat itu antara lain untuk mengelak mereka terlajak kata hingga boleh menyebabkan ada pihak terguris hati.

“Kadang-kadang bila bercakap, kita terlajak dan kadang-kadang orang lain akan terasa. Dalam soal ini, saya lebih suka untuk tidak menggunakan media sebagai medium untuk mengutarakan pandangan yang bersifat sensitif.

“Bukan saya nak salahkan media tapi kadang-kadang sesiapa pun bila ia datang dari pihak ketiga ia boleh jadi percanggahan,” katanya menurut Astro Awani.

Katanya, adalah lebih baik pandangan yang hendak diberikan itu dituju terus kepada parti kerana kedua-dua parti mempunyai hala tuju dalam soal muafakat dan perpaduan ummah.

“Disebabkan itu, pemimpin kedua-dua parti tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan. Saya kalau tercakap silap pun, kalau ada salah seorang ini saya bercakap disalah erti, saya pun mereka akan hentam balik,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan Umno Kedah membayangkan tidak akan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mahdzir Khalid dipetik berkata, sebelum ini Umno memang bekerjasama dengan parti itu namun berasa kesal selepas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Noor bahawa Umno tidak sekuat dulu selain PAS yakin menambah jumlah kerusi dimenangi berbanding pada PRU14 lalu.

Menurutnya, Muhammad Sanusi sepatutnya berunding dengan Umno terlebih dahulu berhubung perkara itu dan bukannya membuat kenyataan di media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.