Tarik balik tuduhan ke atas penganjur protes, Suaram beritahu kerajaan

Tarik balik tuduhan ke atas penganjur protes, Suaram beritahu kerajaan

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy menggesa Akta Perhimpunan Aman dipinda bagi memastikan ia tidak disalahguna.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata tuduhan terhadap penganjur membantah kenaikan harga makanan melanggar hak kebebasan berhimpun.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Putrajaya menarik balik tuduhan ke atas dua ahli politik dan seorang aktivis pelajar yang mengetuai tiga bantahan berasingan terhadap kenaikan kos sara hidup.

Terdahulu, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda, Ketua Pemuda PKR Batu Sabda Suluh Lestari Yahya dan aktivis pelajar Aliff Naif Mohd Fizam didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas kegagalan memaklumkan polis berhubung perhimpunan protes yang diadakan di pusat bandar bulan lalu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berkata tuduhan terhadap tiga individu itu melanggar hak kebebasan berhimpunan mereka dan tidak sejajar keanggotaan Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC), yang baru-baru ini menggesa promosi dan perlindungan terhadap hak asasi manusia dalam konteks protes aman.

“Penting untuk kerajaan merealisasikan komitmen yang dijanjikan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Sevan Doraisamy.

Beliau mendakwa, tuduhan itu hanya mungkin dikenakan akibat pindaan “lemah” ke atas Akta Perhimpunan Aman 2012, yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan terdahulu pada 2019.

Katanya, pindaan itu berhubung tempoh notis 10 hari untuk perhimpunan aman dipendekkan kepada lima hari tidak memberi ruang untuk himpunan spontan kerana himpunan awam biasanya diadakan secara spontan dan berdasarkan peristiwa semasa.

“Tempoh notis boleh diterima untuk himpunan yang telah dirancang kerana penganjur mempunyai masa mencukupi untuk menyelaras diri dan berhubung dengan polis.

“Tetapi, peruntukan tambahan perlu dibuat untuk perhimpunan spontan seperti bantahan terhadap kenaikan harga baru-baru ini.”

Sevan menggesa Akta Perhimpunan Agung dipinda bagi memastikan ia tidak disalahgunakan.

“Suaram menggesa kerajaan menarik balik tuduhan terhadap Lestari Yahya, Aliff Naif dan Hasbie Muda serta meminda Akta Perhimpunan Aman bagi memastikan ia benar-benar memudahkan perhimpunan, bukannya menjadi alat politik untuk menyekat perbezaan pendapat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.