
Hishammuddin berkata semalam, pembinaan LCS pertama (LCS 1) yang sedang dijalankan, sepatutnya diserahkan kepada tentera laut pada 2019, tidak akan melibatkan peruntukan baharu daripada kerajaan.
Bagaimanapun, menurut Lim, apabila Hishammuddin tampil di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 25 Jan, beliau berkata Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) perlu menghantar dua LCS tanpa sebarang kos tambahan bagi kerajaan.
“Hishammuddin perlu menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan mengurangkan jumlah LCS yang perlu disiapkan dan dihantar tanpa peruntukan tambahan daripada dua buah kepada sebuah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam keterangannya di hadapan PAC, Hishammuddin sebelum ini berkata, jika kerajaan mahu meneruskan projek itu, “kita tidak boleh mendahulukan keseluruhan wang jika Boustead tidak komited untuk menyerahkan sekurang-kurangnya dua kapal”.
Dalam Hansard yang dilihat FMT, beliau berkata, proses menyiapkan dua LCS pertama “tidak akan mempengaruhi bayaran pendahuluan” kerana ia “masih bawah jumlah kontrak”.
Pada majlis di Kementerian Pertahanan, Hishammuddin memberitahu pemberita bahawa peruntukan tambahan bagi BNS untuk menyiapkan baki lima LCS hanya akan dipertimbangkan selepas LCS 1 siap dalam tempoh dua tahun lagi.
Bawah projek LCS bernilai RM9 bilion yang kini diselubungi kontroversi itu, BNS ditugaskan membina enam kapal frigat tentera laut. Projek itu kini bawah penelitian Parlimen oleh PAC berhubung kos dan kelewatan pembinaan.
Kapal pertama dilancarkan pada 2017 dan dijadualkan untuk diserahkan pada 2019, dengan selebihnya dalam tempoh selang enam bulan. Bagaimanapun, tiada satu kapal pun yang telah siap dan diserahkan.