Tiada bukti kukuh unsur buli dan kematian doktor pelatih di HPP, kata pasukan petugas khas

Tiada bukti kukuh unsur buli dan kematian doktor pelatih di HPP, kata pasukan petugas khas

Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan berkata insiden buli dan budaya kerja kurang sihat berlaku di KKM, namun bukan di semua fasiliti kesihatan.

Pada 17 April lalu seorang doktor pelatih lelaki ditemui maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran Hospital Pulau Pinang.
PUTRAJAYA:
Tiada bukti kukuh bagi mengaitkan kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan unsur buli di tempat kerja, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), Dr Siti Hamisah Tapsir.

Beliau berkata, ia adalah dapatan HWCITF selepas melakukan analisis ke atas Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung insiden itu.

“HWCITF mengekalkan pandangan ini, selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada polis menerusi siasatan mereka ke atas kes ini,” katanya dalam taklimat media khas laporan Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan 2022 di sini.

HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lalu, susulan insiden kematian seorang PPS di HPP, selain laporan dan aduan berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi PPS dan kakitangan perkhidmatan kesihatan.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemui maut, dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP.

Mengenai dapatan kaji selidik berkaitan budaya kerja yang disertai 110,411 pegawai dan kakitangan KKM, beliau berkata, lebih 60% responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di KKM positif, terutamanya penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.

Katanya, insiden “burnout” (lesu upaya), buli dan budaya kerja kurang sihat dapat disahkan berlaku di KKM, namun pada tahap berbeza dan bukan di semua fasiliti kesihatan KKM.

“Didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia berlaku merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung.

“Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan diamanahkan.”

Siti Hamisah berkata, HWCITF mendapati pematuhan terhadap pelaksanaan sistem kerja fleksi PPS dalam garis panduan tidak menyeluruh dan latihan PPS tidak konsisten antara hospital, termasuk waktu kerja PPS yang panjang.

“Justeru, HWCITF mencadangkan pendekatan lebih berstruktur dan konsisten melalui pematuhan dan pemantapan standard serta garis panduan sedia ada.”

Beliau berkata, HWCITF juga mendapati ada keperluan untuk mengoptimumkan sumber manusia dan kemudahan infrastruktur bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit terbaik.

Selain itu, kebanyakan urusan kerja masih dilaksanakan secara manual dan kekurangan pendigitalan menyebabkan peningkatan beban kerja yang boleh dielakkan serta melewatkan proses penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Katanya, HWCITF turut menggariskan 10 syor utama bagi tujuan penambahbaikan dan memperkasakan perkhidmatan kesihatan di KKM dan semua fasilitinya.

Antara syor itu ialah pendigitalan proses pengintegrasian sistem digital sedia ada, penambahbaikan sistem e-Housemen serta penubuhan kumpulan sokongan PPS dan lain-lain perkhidmatan.

“Cadangan penambahbaikan budaya kerja mestilah tidak memberi kesan negatif kepada kualiti pegawai perubatan dan perkhidmatan mereka.

“Ini kerana ada ramai lagi pegawai perubatan yang dilatih dalam suasana kondusif dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.