Penghijrahan doktor beri kesan terhadap mereka yang kekal, kata kumpulan perubatan

Penghijrahan doktor beri kesan terhadap mereka yang kekal, kata kumpulan perubatan

Malaysian Medics International (MMI) menggesa kerajaan mengambil langkah untuk menangani situasi disifatkan sebagai 'nazak' itu.

Malaysian Medics International (MMI) berkata ketidaksamaan dalam imbuhan, faedah, jaminan pekerjaan dan akses kepada peluang kerjaya menyebabkan doktor meninggalkan perkhidmatan awam. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kumpulan memperjuang kepentingan doktor telah memberi amaran bahawa penghijrahan pegawai perubatan daripada perkhidmatan awam akan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan.

Malaysian Medics International (MMI) mendakwa ketidaksamaan dalam imbuhan, faedah, jaminan pekerjaan dan akses kepada peluang kerjaya telah menyebabkan doktor meninggalkan perkhidmatan awam.

“Ini telah meninggalkan jurang di seluruh negara yang sukar diisi oleh doktor yang tinggal,” katanya dalam memorandum.

“Jika tidak dikawal, peningkatan dalam tekanan perkhidmatan akibat daripada penghijrahan ini akan memberi kesan kesihatan yang teruk kepada doktor yang kekal dalam perkhidmatan awam.”

Kumpulan itu membuat beberapa cadangan untuk membantu menangani situasi berkenaan yang disifatkan sebagai “nazak”.

Ia menggesa Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyegerakan kenaikan pangkat doktor kontrak ke gred UD47 sebaik sahaja mereka menamatkan tempoh perkhidmatan diperlukan.

Selain itu, ia mencadangkan penyeragaman penuh cuti yang tersedia untuk doktor kontrak dan tetap, termasuk cuti bergaji dan tidak bergaji, cuti sakit kritikal, cuti pendidikan, serta cuti menjaga anak.

Kumpulan itu juga menggesa kementerian serta Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menyediakan panduan jelas dan menyeluruh mengenai tatalaku di tempat kerja penjagaan kesihatan.

Ia juga mencadangkan pelaksanaan maklum balas menyeluruh tanpa nama mengenai prestasi doktor individu dan kelakuan profesional yang diminta daripada semua ahli tenaga kerja kesihatan, termasuk rakan sekerja kesihatan bersekutu.

Memorandum itu disokong oleh Persatuan Perubatan MAHSA, Persatuan Perubatan Universiti Malaya, Sekolah Klinikal Persatuan Medicos Universiti Monash Johor Bahru, Persatuan Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Tunku Abdul Rahman, dan Rangkaian Mind Matters.

Pada Julai, JPA mengumumkan bahawa doktor, doktor gigi dan ahli farmasi yang menerima biasiswa kerajaan akan dibebaskan daripada ikatan untuk berkhidmat dengan kerajaan. Bagaimanapun, mereka mempunyai pilihan untuk meneruskan perkhidmatan.

Dua Ahli Parlimen pembangkang kemudian menyuarakan kebimbangan berhubung langkah itu, sambil berkata ia boleh mengakibatkan penghijrahan daripada perkhidmatan kesihatan negara.

Bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, “pemangsa asing yang menunggu untuk mencuri bakat-bakat kita” berkemungkinan menjadi pihak yang mendapat keuntungan paling besar daripada keputusan JPA untuk menamatkan tempoh ikatan tersebut.

Beliau dan bekas timbalannya, Dr Lee Boon Chye, bercakap tentang kemungkinan penghijrahan doktor kontrak, dengan Dzulkefly berkata pegawai kontrak itu mungkin memutuskan untuk berkhidmat di sektor swasta, menghalang kemajuan perkhidmatan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.