
Setiausaha JPKK, M Sivaranjani menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) meneliti dan mengambil tindakan terhadap 127 syarikat itu susulan aduan daripada pengadu yang bekerja di syarikat terbabit.
“Ramai pengadu membuat aduan yang meminta satu tindakan daripada pihak KSM untuk meneliti perkara itu.
“Rata-rata pekerja yang membuat aduan daripada syarikat yang menerima tender daripada kerajaan seperti dalam bahagian pembersihan dan pengawal keselamatan,” katanya pada sidang media di hadapan Bangunan KSM.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada kementerian itu supaya segera mengambil tindakan sewajarnya.

Memorandum tersebut diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd Asri Abdul Wahab.
Gaji minimum RM1,500 dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arulchelvan, berkata KSM perlu tegas dengan isu itu.
Arulchelvan atau dikenali dengan panggilan Arul, berkata dalam pertemuan dengan Asri, beliau berkata pihak JTKSM memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap 127 syarikat itu.
Arul juga berkata, Asri memberi jaminan pihak JTKSM tidak akan mendedahkan nama pengadu yang membuat aduan tidak menerima gaji minimum seperti yang dilaksanakan kerajaan.
Dalam pada itu, Arul menuntut pihak KSM lebih agresif untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tidak mengikut perintah kerajaan membayar gaji minimum.
Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila syarikat atau kontraktor yang menerima tender daripada kerajaan sendiri tidak mengikut perintah terbabit.
Katanya, alasan diberikan syarikat seperti tidak menerima arahan daripada kerajaan dan belum menerima pindaan tender untuk pembayaran gaji minimum.
Arul turut menggesa supaya Menteri Sumber Manusia M Saravanan membuat sidang media dua minggu sekali untuk mengumumkan berapa syarikat tidak membayar gaji minimum dan syarikat yang telah diambil tindakan.
Beliau berharap pihak KSM meneliti 127 syarikat yang diserahkan hari ini untuk tindakan lanjut.