
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid, berkata terdapat laporan lambakan ayam di pasaran serta permintaan tinggi daripada penternak untuk mengeksport ayam ke Singapura.
“Perkara itu akan dibincangkan di Kabinet hari ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Kopi Merdeka with Tealive.
Kerajaan menyekat pengeksportan ayam mulai 1 Jun lalu untuk mengukuhkan bekalan makanan dan menstabilkan harga makanan, Tetapi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dilaporkan sedang mengkaji semula sekatan itu ekoran permintaan penternak dan lambakan bekalan.
Terdahulu, FMT hari ini memetik seorang pemilik syarikat pembekal dan pembeli ayam yang bimbang masalah baharu akan muncul apabila sekatan eksport ditarik kerana tiada maklumat berhubung tempoh sekatan dan kelewatan kerajaan membuat keputusan.
Baharudin Ahmad dari NB Poultry Processing Industries berkata, tiada jawapan daripada kerajaan menyebabkan penternak mengalami kerugian kerana tidak dapat merancang untuk memenuhi permintaan baharu dari seberang.
Harga makanan belum turun
Rosol mengakui harga makanan belum diturunkan peniaga, walaupun harga bahan mentah, termasuk ayam sudah kembali stabil.
“Kita sedang tangani perkara itu dan akan melihat dan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya sambil memaklumkan antara alasan peniaga ialah bekalan bahan mentah yang dibeli mereka masih mahal.
Mengulas dakwaan seorang peniaga Muslim mengambil bekalan nasi ayam dan itik dari restoran bukan Islam, Rosol berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada peniaga terbabit melakukan kesalahan lain, selain tidak memiliki sijil halal.
“Dari segi bidang kuasa kita berhubung soal harga dan kebersihan, peniaga terlibat tidak melakukan kesalahan,” katanya yang menasihatkan umat Islam sentiasa peka dan tidak membeli makanan dari premis tidak mempunyai sijil halal bagi mengelakkan timbul kekeliruan.