
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya segera mengeluarkan perintah henti kerja selepas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan bahawa projek itu tidak pernah mengemukakan laporan EIA kepada JAS.
Beliau menuntut kerajaan Melaka menjelaskan bagaimana projek itu dibenar diteruskan walaupun laporan EIA tidak dikemukakan dan diluluskan.
“Kegagalan Melaka Gateway untuk mengemukakan laporan EIA bertentangan dengan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 2012 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Khoo, laporan EIA mesti dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar dan diluluskan bagi sebarang projek membabitkan penebusgunaan tanah, khususnya berkait pulau buatan manusia atau tanah yang luasnya melebihi 50ha.
Beliau berkata, projek Melaka Gateway melibatkan penebusgunaan tanah seluas 553ha di Selat Melaka, dengan unjuran kos pembangunan sebanyak RM42 bilion.
Projek itu juga dianggarkan mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan, membawa masuk 2.5 juta pelancong setiap tahun, dan menjana RM1.19 trilion untuk ekonomi tempatan.
“Hari ini, projek Melaka Gateway bukan sahaja gagal mencapai matlamat yang ditetapkan, malah telah merosakkan alam sekitar dan pesisir pantai negeri Melaka,” katanya.
“Projek ini telah memberi kesan buruk kepada para nelayan di Bandar Hilir dan Duyong (serta) menjejaskan budaya kehidupan masyarakat Kristang di Perkampungan Portugis.
“Projek Melaka Gateway, bersama dengan projek-projek tambakan laut lain, telah mengakibatkan hakisan pesisir pantai dan menjejaskan sistem saliran, lalu menyebabkan banjir kilat lebih kerap berlaku.”
Beliau turut bertanya mengapa kerajaan mengembalikan projek itu kepada pemaju, KAJ Development Sdn Bhd, walaupun kontrak ditamatkan oleh kerajaan negeri pada 2020.
“Ketidaktelusan projek ini telah menjejaskan integriti dan keyakinan terhadapnya,” katanya.
“Saya akan berbincang dengan penduduk tempatan dan beberapa peguam untuk menentukan sama ada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kes ini.”