
“Hari ini, saya juga ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2022, untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun.
Mereka yang berjaya, kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah RM20,000,” katanya ketika berucap merasmikan temasya SUKIPT di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.
Sehubungan itu, Ismail berharap agar program SUKIPT akan membentuk dan melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berprestasi tinggi dan berminda juara dalam kejohanan besar di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata sukan bukan hanya sekadar pertandingan, sebaliknya boleh memupuk kasih sayang, hormat-menghormati dan juga nilai kemanusiaan sesama pasukan yang bertanding.
Perdana Menteri juga berharap, semangat Keluarga Malaysia diteruskan momentumnya bukan sahaja di gelanggang sukan, malah di arena institusi pengajian tinggi (IPT) yang sangat sinonim dengan pembinaan bangsa yang bersatu padu.
“Sebenarnya apabila bercakap tentang sukan, banyak perkara yang boleh kita kaitkan. Bersukan bukan sahaja untuk sihat, tetapi mengajar kita tentang semangat berpasukan, tentang strategi, tentang membuat keputusan, dan banyak lagi.
“Malah, dalam ucapan-ucapan saya di forum-forum yang melibatkan sukan, saya sering kali menekankan tentang bagaimana sukan mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan.
Lihat sahaja ketika ada perlawanan bola sepak, atau badminton, atau sebagainya, lebih-lebih lagi yang di pentas dunia – kita duduk semeja dan secangkir, bersorak sama-sama menyokong pasukan negara,” katanya.
Katanya sukan berupaya memberikan auranya yang tersendiri, bukan sahaja dalam kalangan yang bermain atau yang bertanding tetapi juga kepada yang menonton.
Temasya SUKIPT yang sudah memasuki edisi kelima, berlangsung sehingga 21 Ogos ini dan mempertandingkan 21 jenis sukan dengan penyertaan 66 universiti dari seluruh Malaysia.