
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) berkata pihaknya menerima aduan berdasarkan video yang menunjukkan seekor anjing cedera selepas ditangkap oleh pegawai penguat kuasa MPK.
Video tular berdurasi 19 saat itu menunjukkan anjing tersebut berdarah di mulut.
Beberapa penduduk di kawasan terbabit didengar memarahi pegawai penguat kuasa kerana mencederakan anjing itu. FMT tidak dapat mengesahkan bila video itu dirakam.
“Setiap penangkapan haiwan terbiar sudah diberi prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan keselamatan haiwan dan petugas. Mengapakah MPK tidak mengikut SOP sedia tertera buat rujukan petugas?” kata SAFM dalam kenyataan.
“Siapakah yang bertanggungjawab dalam kejadian ini? Adakah mereka akan diberi tindakan sewajarnya atau dilepaskan begitu sahaja?”
Kumpulan itu menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan sebagai amaran kepada pihak berkuasa tempatan selain menegaskan perlakuan terhadap haiwan sedemikian jelas melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015.
FMT telah menghubungi MPK dan JPV untuk mendapatkan komen.
Insiden yang berlaku di Klang itu menyusul dua minggu selepas pegawai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diselar kerana melayan dua ekor lembu secara “kasar”.
Satu siri video yang dirakam oleh seorang pengembala lembu menunjukkan pegawai penguat kuasa veterinar MBSP mengheret seekor lembu yang tidak sedarkan diri dengan tali di lehernya ke dalam sebuah lori.
Peguam-aktivis Rajesh Nagarajan memberitahu FMT bahawa tindakan pegawai penguat kuasa MBSP itu dikira berlaku kejam terhadap haiwan dan bertentangan dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.