
“Kita ada insentif yang akan kita berikan melalui program ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan,” katanya menjawab pertanyaan pemberita mengenai perkara itu selepas satu acara di sini malam tadi.
Menurut beliau, kementerian akan memastikan usaha gigih para atlet negara di pentas antarabangsa dihargai serta merancang untuk meraikan kejayaan atlet bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kelak.
Kontinjen negara menamatkan cabaran di Sukan Komanwel 2022 yang bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos lepas dengan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.
Kejayaan itu menyamai pencapaian ketika edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila kontinjen membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.
Bagi temasya APG, kontinjen Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet menamatkan cabaran di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa pada temasya yang berlangsung bermula 30 Julai dan berakhir pada 5 Ogos lepas.