
“Orang memandang rendah kekuatan permintaan terpendam,” katanya dalam temu bual dengan Bloomberg semalam.
“Restoran dipenuhi pengunjung, lalu lintas kembali sesak, kadar pengangguran jatuh bawah 4% dan kutipan cukai separuh pertama jauh melebihi anggaran kami.”
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 8.9% dalam tempoh April-Jun berbanding tahun sebelumnya, mengatasi anggaran median 7% dalam tinjauan Bloomberg. Pemulihan ekonomi turut dibantu oleh ledakan dalam perdagangan luar negara, dengan nilai eksport dan import mencecah angka rekod pada Jun.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan tahun penuh pada paras atas ramalan 5.3%-6.3%.
Prospek akan menjadi lebih mencabar menjelang 2023 disebabkan kebimbangan mengenai kelembapan dalam ekonomi global, kata Zafrul.
Antara kebimbangannya termasuk pertumbuhan yang tersekat di China, rakan dagangan terbesarnya, dan pengetatan monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, kata Zafrul.
“Perkara-perkara ini bukan dalam kawalan kita,” katanya, yang mengutarakan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan China selepas kunjungan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan.
“Kami harap kebimbangan inflasi di AS mereda dan China menangani langkah-langkah Covid yang konservatif.”
Tambahnya, tekanan inflasi dijangka kekal sebahagiannya terkawal disebabkan penetapan harga siling barangan makanan dan subsidi bahan api.
Baru-baru ini, kerajaan menangguhkan kenaikan tarif elektrik dan air dan ia dijangka menyumbang kepada peningkatan kos subsidi untuk 2022, yang berkemungkinan berjumlah RM80 bilion, berbanding RM31 bilion yang dianggarkan.
“Inflasi kami terkawal secara relatif kepada apa yang kita lihat di seluruh dunia. Tetapi ini diiringi kos fiskal yang tinggi,” kata Zafrul.
Kerajaan akan bergantung kepada hasil daripada harga komoditi yang tinggi, kutipan cukai yang kukuh, cukai kemakmuran sekali ke atas syarikat, serta dividen daripada entiti negeri termasuk Petronas dan dana negara Khazanah Nasional, untuk mengimbangi kos subsidi, katanya.
“Cara paling mudah adalah meminjam lebih banyak,” katanya sambil menambah, terdapat skop untuk berbuat demikian kerana nisbah hutang kepada KDNK sebanyak 60.4% masih di bawah had siling hutang berkanun sebanyak 65%.
“Namun kami komited kepada sasaran defisit fiskal pada 6% daripada KDNK. Pra-wabak, defisit kami pada 3.5%. Lambat laun kami akan sampai ke tahap itu.”
Sementara itu, mengenai subsidi bahan api yang disasarkan, Zafrul berkata, mekanisme itu kini sedang diuji di beberapa lokasi.
“Kami sedang menguji mekanisme sistem subsidi bahan api yang disasarkan di beberapa stesen minyak. Kami sedang menguji pelbagai platform, termasuk e-dompet, dan berharap untuk membawanya kepada Jemaah Menteri menjelang akhir tahun ini.
“Kemudian terpulang kepada Jemaah Menteri untuk memutuskan pelaksanaannya,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan, subsidi bahan api dan gas memasak sahaja diunjurkan kira-kira RM37 bilion tahun ini, yang kebanyakannya memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi.
“Subsidi bersasar mungkin akan dilaksanakan secara berperingkat dan selepas mengambil kira kadar inflasi semasa,” kata Zafrul.