OKT maut disyaki bergaduh dengan tahanan lain di lokap

OKT maut disyaki bergaduh dengan tahanan lain di lokap

Mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain sehingga mengalami sesak nafas dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik kesihatan.

Polis berkata orang kena tahan (OKT) dimasukkan ke lokap Balai Polis Bachok selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos dan sepatutnya dituduh di mahkamah hari ini.
PETALING JAYA:
Seorang tahanan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan selepas disyaki bergaduh dengan tahanan lain di lokap Balai Polis Bachok, Kelantan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun dan positif dadah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok, kira-kira 11 pagi.

Katanya, orang kena tahan (OKT) dimasukkan ke lokap balai polis itu selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah, hari ini, atas kesalahan terbabit.

“Siasatan mendapati, mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain di dalam lokap sehingga dia mengalami sesak nafas sebelum diasingkan ke lokap lain.

“OKT juga dikatakan sering menimbulkan masalah kepada tahanan yang lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap,” katanya menurut Kosmo.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, untuk dibedah siasat.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, pemeriksaan turut mendapati, mangsa mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Kita akan menunggu laporan ‘post mortem’ mangsa hari ini. Berdasarkan laporan tersebut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokap, kita akan dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.